Status Semasa Dan Cabaran

Kiriman Cikgu Faizah | Saturday, May 16, 2009 | 0 komen »

  1. Sekolah Bestari secara ringkas boleh didefinisikan sebagai suatu sistem pendidikan yang mana proses pengajaran dan pembelajaran lebih berpusat kepada pelajar dengan menggunakan pendekatan yang lebih kritis dan kreatif serta menggunakan teknologi sebagai pengupaya. Penggunaan ICT sebagai bahan bantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan jantung Sekolah Bestari. Pendekatan ini tidak hanya terhad dalam kurikulum, pedagogi, pentaksiran, pengajaran dan pembelajaran, malah juga dalam bidang pengurusan sekolah. Pengurusan dan pentadbiran sekolah dibestarikan agar pengurus sekolah dapat menguruskan perjalanan sesebuah sekolah dengan lebih efektif.
  2. Walau bagaimanapun, dalam proses menubuhkan Sekolah Bestari diseluruh negara, KPM kemudiannya telah mengambil langkah bijak dan kos efektif dengan memperkenalkan Program Pembestarian Sekolah. Ini memandangkan untuk membekalkan infrastruktur teknologi penuh sebuah Sekolah Bestari, Kerajaan perlu membelanjakan sebanyak RM1.8 juta, manakala untuk membekalkan infrastruktur teknologi makmal komputer, kerajaan memerlukan peruntukan sebanyak RM642,000 bagi sebuah sekolah. Oleh itu, alternatif yang terbaik adalah dengan cara membestarikan sekolah sedia ada yang hanya memerlukan peruntukan yang jauh lebih rendah untuk setiap buah sekolah.
  3. Program Pembestarian Sekolah memberi maksud mengaplikasikan konsep Sekolah Bestari pada semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara. Komponen utama pembestarian sekolah adalah berfokus kepada pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah berbantukan ICT. Proses Pembestarian sekolah dapat melatih guru dan pelajar berkemahiran dalam bidang ICT. Justeru, kemahiran yang diperoleh dapat melahirkan pelajar yang mengamalkan pembelajaran akses kendiri (self-accessed), terarah kendiri (self-directed) dan kadar kendiri (self-paced).
  4. Pelaksanaan pembestarian ini mengambil kira (leveraging) semua inisiatif ICT yang sedia ada di sekolah merangkumi tiga perkara utama iaitu hardware, software dan wetware. Untuk itu, KPM telah pun membekalkan pelbagai peralatan dan kemudahan ICT seperti komputer, pencetak, server, projektor dan rangkaian. Statistik sehingga April 2005 menunjukkan sebanyak 4500 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara telah dilengkapi dengan makmal komputer, sementara 8120 buah sekolah telah dirangkaikan dengan capaian internet berjalur lebar melalui rangkaian SchoolNet.
  5. Pelbagai perisian kursus telah dibangunkan, baik oleh pihak KPM mahu pun dengan kerjasama pihak swasta. Perisian kursus untuk kegunaan Sekolah Bestari yang melibatkan empat mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik telah dibangunkan dengan kerjasama pihak swasta. Selain daripada menghasilkan perisian kursus untuk digunakan oleh guru dan pelajar dalam program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
  6. Pembestarian sekolah melibatkan pengurusan pendidikan yang lebih cekap dan berkesan dengan penggunaan aplikasi Smart School Management System (SSMS), Educational Management Information System (EMIS) dapat m,embantu memperkemaskan pengaliran dan perkongsian maklumat di peringkat sekolah, jabatan dan kementerian.
  7. Latihan kemahiran ICT kepada individu yang terlibat sentiasa diadakan dari semasa ke semasa. Pentadbir sekolah, guru, staf sokongan dan personel di pelbagai peringkat Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri, dan Bahagian-bahagian di KPM turut dibimbing dan dilatih menggunakan segala kemudahan ICT yang disediakan.